PKPB SEMASA – Apa Yang Boleh? Apa Yang Tak Boleh?

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri iaitu Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu bermula pada tengah malam 13 Oktober di Sabah sementara di tiga negeri lain, bermula 12.01 tengah malam pada 14 Oktober.

Tempoh pelaksanaan selama dua minggu dan di Sabah, ia akan tamat pada 26 Oktober; di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pula berakhir pada 27 Oktober.

Sebaik pengumuman itu, penduduk di kawasan terjejas mula tertanya-tanya apa yang boleh dilakukan dan apa tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh PKPB.

Astro AWANI berkongsikan kepada anda panduan berkaitan pelaksanaan itu namun harus diingat, prosedur operasi standard (SOP) mungkin berubah kerana kerajaan masih meneliti peraturan yang perlu dibuat.

Sejurus ia dimumkan, Astro AWANI pasti akan mengemaskini panduan ini bagi menjelaskan kekeliruan yang berlaku.

Kenapa PKPB dilaksanakan?

Pelaksanaan ini terpaksa dilakukan susulan kes COVID-19 yang semakin meningkat di sesebuah kawasan dan seperti kita tahu, di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kesnya meningkat.

PKPB terpaksa dilaksanakan bagi membendung penularan virus tersebut agar ia tidak terus merebak ke tempat lain meskipun tidak banyak zon merah dalam negeri berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKPB adalah pendekatan terbaik untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19, selain mampu mengawal jangkitan rentas daerah atau negeri dengan lebih berkesan.

“Kita tidak boleh hanya melihat dan menunggu zon kuning menjadi merah,” katanya dalam sidang media pada Isnin, sambil Dr Noor Hisham menjelaskan, pelaksanaan di seluruh Lembah Klang adalah kerana kawasan itu merekodkan kes baharu secara berselerak.

Berikut antara panduan yang mungkin boleh membantu anda:

Adakah keluar rumah dibenarkan?

Boleh namun hanya dua orang dari setiap isi rumah dibenarkan keluar untuk memberi barang keperluan.

Bagi mereka yang mahu keluar bekerja, mereka dibenarkan berbuat demikian namun perlu mempunyai surat kebenaran daripada majikan.

Bolehkah balik kampung?

Kalau kampung dalam satu daerah, dibenarkan kerana tidak merentas daerah.

Perjalanan rentas daerah tidak dibenarkan. Polis akan membuat sekatan jalan untuk mengawal pergerakan penduduk.

Di Selangor, misalnya, terdapat sembilan daerah – iaitu Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam dan Sepang.

Anda harus kekal berada di daerah anda.

Bagaimana jika saya perlu bekerja di daerah lain?

Pengecualian ada untuk anda yang perlu melakukan perjalanan rentas daerah untuk bekerja. Syaratnya, menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan di sekatan jalan raya.

Bolehkah saya pergi bekerja?

Boleh, kerana sektor perniagaan dibenarkan untuk beroperasi. Sekali lagi diingatkan, bawa surat kebenaran daripada majikan bersama anda bagi memudahkan urusan.

Boleh makan di restoran?

Sekiranya melihat PKPB sebelum ini, tidak dibenarkan makan di restoran, hanya bungkus dan bawa pulang.

Penghantaran makanan juga dibenarkan dalam tempoh ini.

Bolehkah hantar anak ke sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak?

Tidak. Semua sekolah, kolej, universiti, institut latihan dan pusat jagaan kanak-kanak akan ditutup.

Sekatan masa dikenakan untuk melakukan perjalanan dan operasi perniagaan?

Ya. Perincian akan diumumkan tidak lama lagi.

Bolehkah saya beriadah di taman?

Tidak. Semua taman awam dan pusat rekreasi akan ditutup.

Anda juga tidak dibenarkan keluar untuk aktiviti rekreasi seperti bersenam atau menunggang basikal.

Bolehkah saya karaoke?

Tidak, semua pusat hiburan diarahkan untuk tutup sepanjang tempoh PKPB.

Bagaimana dengan majlis perkahwinan?

Majlis perkahwinan tidak dibenarkan.

Tempat ibadat?

Semua tempat ibadat – Muslim dan bukan Muslim – akan ditutup.

Bagaimana jika saya langgar arahan itu?

Pelanggaran PKPB adalah satu kesalahan di bawah Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan boleh dikenakan denda RM1,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Jika anda menghalang penjawat awam yang melaksanakan PKPB, anda boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau didenda hingga RM10,000 atau kedua-duanya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Sumber-Astro Awani

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

Jangan lupa untuk subscribe Facebook, Instagram dan juga Twitter Jirancakap untuk info dan peluang untuk jana pendapatan kita bersama

PERHATIAN: Pihak Jirancakap tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Jirancakap juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Terima kasih

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*