Najib Bersekongkol Bersama-sama Zahid Tulis Surat Sokong Anwar Jadi PM-9 Tanpa Pengetahuan MP UMNO? Ini Penjelasannya

KUALA LUMPUR: Suhu politik negara nampaknya belum menunjukkan keredaan selepas terbaharu satu pendedahan mengejutkan membabitkan isi kandungan surat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong, baru-baru ini.
Memetik portal MalaysiaNow, surat yang dipersembahkan oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa bersama-sama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pendedahan tersebut sekali gus dilihat bercanggah dengan penafian yang dibuat oleh UMNO sebelum ini berhubung surat yang tular di laman sosial, menafikan sokongan telah diberikan kepada Ketua Pembangkang itu.
“Surat bertarikh 11 Oktober itu, yang ditandatangani bersama bekas Presiden UMNO, Najib Razak dihantar menjelang panggilan menghadap Anwar ke Istana Negara pada 13 Oktober, di mana Presiden PKR itu perlu membuktikan dakwaannya mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
“Akan tetapi dua hari sebelum itu, Ahmad Zahid bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediamannya di Bukit Damansara.
“Dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid memberikan komitmen sokongan UMNO kepada Perdana Menteri, selepas Anwar mengumumkan mempunyai “sokongan kukuh dan meyakinkan” untuk menumbangkan kerajaan Muhyiddin,” demikian memetik laporan portal tersebut, hari ini.
Sumber dalaman memberitahu portal tersebut lagi, surat tersebut didakwa dihantar oleh Ahmad Zahid dan Najib selepas 48 jam pertemuan dibuat di kediaman Muhyiddin, menyatakan sokongan mereka untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Tambah sumber, surat berkenaan disediakan tanpa pengetahuan mana-mana ahli Majlis Tertinggi UMNO.
“Tiada seorang pun tahu mengenai surat itu, kecuali mereka berdua, Zahid dan Najib.”
Bagaimanapun, dua hari selepas surat berkenaan dihantar iaitu pada 15 Oktober, wakil dari Istana Negara menghubungi Muhyiddin untuk memberikan salinan surat Ahmad Zahid.
Susulan tersebut, Perdana Menteri kemudian memanggil semua menteri UMNO ke kediamannya sebelum mendedahkan kepada mereka mengenai surat sokongan kepada Anwar daripada Ahmad Zahid dan Najib, lapor MalaysiaNow lagi.
“Ketika itu menteri-menteri UMNO yang hadir terkejut dan mengatakan mereka tidak pernah menyokong Anwar.
“Mereka berjanji akan membawa perkara ini pada mesyuarat Majlis Tertinggi,” kata sumber.
Selain itu, dalam pertemuan tersebut, menteri-menteri UMNO dilaporkan membangkitkan empat tuntutan kepada Muhyiddin, mengatakan mereka diberikan tekanan daripada akar umbi parti, termasuk mengatakan UMNO tidak diberikan kedudukan setimpal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahmad Zahid tuntut jadi Timbalan Perdana Menteri
Lebih mengejutkan, portal tersebut mendakwa Ahmad Zahid turut menuntut agar sebahagian daripada pemimpin parti UMNO disingkirkan daripada Kabinet.
Malah, Ahmad Zahid didakwa turut menuntut dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum menyenaraikan nama pemimpin UMNO yang perlu digugurkan daripada Kabinet.
Antara senarai menteri yang didakwa mahu digugurkan adalah Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Tuntutan tersebut didakwa dibuat dalam pertemuan Perdana Menteri bersama dengan Ahmad Zahid dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 17 Oktober.
Pertemuan tersebut pada awalnya dijadualkan bagi membincangkan tentang Muafakat Nasional (MN).
“Pada akhir perbincangan, Muhyiddin bertanyakan Ahmad Zahid mengenai surat sokongannya kepada Anwar yang dihantar ke Istana Negara.
“Seorang pegawai Muhyiddin kemudiannya menyerahkan surat itu kepada (Datuk Seri) Hamzah Zainuddin yang kemudiannya memberikannya kepada Presiden Pas. Abdul Hadi menunjukkan reaksi amat terperanjat,” lapor portal tersebut.
Turut bersama dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha Agong Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Hamzah selaku Setiausaha Agong Bersatu.
Tuntutan yang dibuat Ahmad Zahid itu digambarkan telah “memanaskan” lagi pertemuan tersebut, sebelum Perdana Menteri dilaporkan bertanya apa sebetulnya yang dimahukan oleh Presiden UMNO itu.
“Ahmad Zahid jawab Perdana Menteri mungkir janji,” kata sumber dalaman itu.
“Muhyiddin kemudian berkata tidak pernah menjanjikan apa-apa. Ahmad Zahid kemudian berkata, apabila UMNO menyokong Bersatu untuk menubuhkan kerajaan, ia adalah untuk Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan bukannya Muhyiddin.
“Muhyiddin tanya lagi apa lagi yang Ahmad Zahid tidak puas hati. Ahmad Zahid kata dia sebagai Presiden UMNO tidak dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri,” lapor MalaysiaNow yang memetik sumber.
Perdana Menteri kemudian memberitahu Ahmad Zahid bahawa beliau tidak mencampuri urusan mahkamah.
“Namun sebagai rakan, Muhyiddin berkata dia mendoakan Zahid akan dibebaskan.”
Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi yang diasaskan beliau.
Sumber – Awani

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

Jangan lupa untuk subscribe Facebook, Instagram dan juga Twitter Jirancakap untuk info dan peluang untuk jana pendapatan kita bersama

PERHATIAN: Pihak Jirancakap tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda telah berfikir dengan warasnya sebelum ingin menulis apa-apa diruangan komen anda disini. Pihak Jirancakap juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Terima kasih

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*