Ibu Suspek Redha Sejak Hari Pertama Anak Ditahan, Sedia Berjumpa Keluarga Arwah Untuk Mohon Maaf

HULU TERENGGANU: Sekalipun pahit untuk ditelan, namun, tiada apa lagi yang mampu dilakukan oleh Mala (bukan nama sebenar) selain daripada menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan masa depan anaknya.
Mala yang juga ibu kepada suspek tragedi berdarah pembunuhan remaja Siti Nur Surya Ismail, 19, di rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Hulu Terengganu, Ahad lalu sudah habis kata-kata untuk menceritakan kesedihan yang bersarang di jiwa.
Seperti ibu lain, Mala juga tidak mahu melihat pengakhiran anaknya sedemikian rupa, namun, dia juga akur tidak mampu untuk melawan qada dan qadar.
Ketika kunjungan Astro AWANI ke kediamannya hari ini, nyata riak wajahnya menyimpan seribu rasa yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.
Cemuhan, sindiran serta lemparan kata-kata yang tidak sedap kendengaran di telinga mula diterima Mala sekeluarga.
Mengakui bukan mudah untuk menerima tekanan sedemikian rupa, namun ketenangan akan hadir setiap kali mengadu kepada Yang Maha Esa.
Dalam situasi sekarang, apa yang mampu dilakukan Mala ialah menerima dengan lapang dada sebaik anak kesayangan ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan. Apapun, kata Mala, dia telah redha sejak hari pertama lagi anaknya ditahan dan baginya biarlah pihak berkuasa dan neraca keadilan yang menentukan untung nasib anaknya itu.
Bagi ibu malang itu, tiada kewajipan untuk mempertahan pada setiap kesalahan oleh siapa sahaja, tetapi, naluri sebagai ibu, doa buat anaknya tidak pernah lekang dipanjatkan . Jauh di sudut hati, Mala mengakui, kepada anak sulungnya itulah tempatnya selama ini bergantung harap dan mengadu nasib jika ada perkara yang perlu dikongsi. “Selama ini dia dengar kata saya, sebab saya hidup serba kekurangan, tak pernah mengeluh. Kalau mengadu pun pada dia hanya mengenai kesusahan hidup yang kami lalui, maklumlah saya hanya tukang cuci sahaja.
“Dia hanya bercakap tak apalah ma, kakak (panggilan buat suspek) bela nasib kita nanti kalau kakak dapat kerja. Dia nak jadi cikgu. Dia anak baik… boleh kongsi masalah. Tapi sekarang ini saya serah kepada polis, tapi kak tetap berdoa,” kata Mala meluah perasaannya dalam wawancara dengan Astro AWANI.
Mala yang juga ibu kepada dua orang anak berkata, sepengetahuannya, Allahyarham Surya merupakan rakan baik anaknya, bahkan mereka amat menyayangi antara satu sama lainm. Dalam perbualan yang sarat dengan kepiluan dan kekesalan ekoran kejadian itu, Mala berkata, sukar untuk dia membayangkan dengan apa yang berlaku pada nasib Allahyarham Siti Nur Surya.
Dan, jauh di sudut hati, Mala sememangnya menyimpan hasrat pada hari pertama kejadian lagi untuk menziarahi keluarga Allahyarhan yang diakuinya sebagai keluarga yang baik pekerti mereka. Bahkan, keperibadian Siti Nur Surya juga, kata Mala, amat disenanginya kerana Allahyarham merupakan seorang anak yang baik dan taat pada ibu bapa serta menghormati orang tua.
“Tentulah saya teringin sangat untuk pergi berjumpa sendiri dengan keluarga Allahyarham Surya. Mereka orang baik. Tanggungjawab dan kewajipan saya untuk pohon kemaafan atas segala yang berlaku. “Mereka tentunya terlalu sedih yang sukar digambar lebih daripada saya. Tapi buat masa sekarang urusan saya sekeluarga dengan pihak polis agak banyak dan saya akui berada dalam keadaan terkejut dan tertekan. “Insya-Allah saya akan pergi (ziarah keluarga Allahyarham Siti Nur Surya),” ujar Mala dalam nada yang sangat sayu.
Bercerita lanjut, Mala berkata, kemiskinan yang dilalui keluarganya itu menyebabkan anaknya terpaksa menolak beberapa tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kekangan kewangan. Bagaimanapun, jelas Mala, anaknya itu tidak pernah merungut tentang kekurangan yang diharungi mereka selama ini.
“Pernah juga sampai ke tahap terpaksa tangguh bayar duit yuran sekolah dia kerana tidak ada duit. Nak buat macam mana,” ujar Mala.
Kenyataan ibu suspek itu turut diakui jirannya yang hanya mahu dikenali sebagai Beri, 52.
“ Dia (suspek) budak jenis jarang keluar rumah sebenarnya. Duduk di rumah saja kebiasaannya yang setakat saya taulah. Tak ada pula saya dengar dia pernah buat masalah apa. Tak sangka sungguh apa yang berlaku ini. Susah nak percaya,” katanya lagi. Sehubungan itu, Beri memohon kepada orang ramai agar tidak memperkatakan sesuatu yang tidak sepatutnya mengenai suspek dan keluarga kerana ia tidaklah seperti yang digambarkan. Malah jika mengenali mereka sukar untuk percaya atau menerima apa yang berlaku itu disabitkan jirannya. Ia berikutan banyak yang dilihatnya dakwaan yang keterlaluan dan tidak benar sama sekali perkara yang ditomah terhadap suspek dan keluarganya.
Pada Ahad, Siti Nur Surya dipercayai dibunuh di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu. Mangsa ditemui dengan beberapa kesan tikaman, dipercayai akibat senjata tajam, di beberapa bahagian badan, termasuk putus pergelangan tangan kiri.
Polis percaya penahanan suspek yang bersekolah bersama mangsa dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima itu sekali gus membongkar motif kejadian pembunuhan kejam itu.
Sumber-Astro Awani

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Yang Baik-Baik Sahaja Dan Jangan Lupa Share Ya. Terima Kasih

Jangan lupa untuk subscribe Facebook, Instagram dan juga Twitter Jirancakap untuk info dan peluang untuk jana pendapatan kita bersama

PERHATIAN: Pihak Jirancakap tidak akan bertanggungjawab Iangsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Jirancakap juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri

Terima kasih

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*