“Ada Orang Lupa Tentang Kerusi, UMNO Adalah Parti Terbesar Yang Perlu Dihormati” – Ahmad Maslan

Beberapa hari lalu pengumuman UMNO untuk mempertimbangkan menarik diri daripada menyokong gabungan Pakatan Nasional (PN) telah mendapat reaksi pelbagai pihak.

Malah rata-rata rakyat yang berfikiran luas dan terbuka memandang keputusan UMNO itu adalah merugikan orang Melayu sendiri.

Ia kerana gabungan UMNO-PAS-Bersatu adalah sesuatu yang sepatutnya dipertahankan.

Ahmad Maslan bersuara

Umno akan menentukan masa depan parti itu bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) semula, jika syarat atau tuntutan baharunya ditolak Pengerusi perikatan berkenaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebarang keputusan yang akan diambil sekiranya syarat dan tuntutan baharu parti itu ditolak akan dibincangkan dahulu sebelum langkah muktamad diambil.

Namun, katanya, kepentingan rakyat akan diutamakan walaupun syarat yang dikemukakan Umno tidak diterima PN.

” Umno akan bincang segalanya dahulu. Apakah langkah paling baik untuk rakyat selain perjuangan Umno serta Barisan Nasional (BN).

” Rakyat yang akan diutamakan. Kami akan buat keputusan perkara yang terbaik untuk rakyat, Umno dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir di Majlis Penyampaian Bantuan kepada Mahasiswa/Mahasiswi Parlimen Pontian di Dewan Muafakat Pusat Khidmat Benut, dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas sama ada Umno akan meninggalkan PN sekiranya syarat atau tuntutan baharu parti itu ditolak Muhyiddin yang juga Perdana Menteri.

Selasa lalu, Umno dilaporkan meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan PN.

Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, beliau berharap perbincangan mengenai syarat atau tuntutan baharu itu akan diselesaikan sebelum sesi Parlimen bersidang semula, November ini.

” Mesyuarat MT Umno Selasa ini di Pahang akan membincangkan lebih lanjut mengenai syarat dan tuntutan baharu parti sebelum surat rasmi dihantar kepada Pengerusi PN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Tertinggi (MT) Umno berhak membuat persetujuan mahu pun menambah syarat atau tuntutan baharu yang dirumuskan Biro Politik, sebelum ini.

Kami adalah parti terbesar

” Kami adalah parti terbesar (dalam PN) yang perlu dihormati. Ada orang lupa tentang kerusi. Kadang-kadang ada yang memiliki kerusi sikit, tetapi fikir mereka banyak kerusi.

” Politic is game of number. Perjuangan tentang angka. Siapa yang lebih banyak, dia yang lebih berhak. Siapa lebih banyak, sepatutnya dia diberikan lebih tempat.

” Siapa lebih banyak, sepatutnya dia diberikan rundingan yang lebih baik daripada yang ada sekarang, ” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*